Selepas dikejutkan dengan keputusan seri 2-2 dengan PDRM beberapa hari lepas, Johor Darul Ta’zim (JDT) II berharap dapat bangkit menentang Terengganu II. Sangkaan tersebut meleset apabila anak-anak buah Mariano Echeverria itu tewas mengejut 0-1 kepada pasukan pelawat hari ini.
Turun dengan keazaman melakar kemenangan, Harimau Selatan berusaha mendominasi lawan mereka dari pantai timur itu. Bagaimanapun, kesungguhan skuad muda Penyu mempertahankan gawang mereka menyaksikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Terengganu tampil lebih kemas pada babak kedua. Di sebalik usaha keras pasukan tuan rumah, skuad muda Peteh mendahului menerusi Syahmi Zamri pada minit ke-60.
Tersentak, anak-anak buah Echeverria itu berusaha memburu gol penyamaan. Tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan perlawanan ini meletakkan JDT II di tangga ketiga Kumpulan A Piala MFL dengan empat mata. Manakala Terengganu II terus selesa mendahului kumpulan dengan sembilan mata.