Terengganu FC II kembali mendapat rentak kemenangan apabila menewaskan PDRM dalam aksi terbaru Piala MFL di Stadium UiTM, Shah Alam.
Skuad muda Penyu mahu bangkit selepas tewas mengejut kepada Negeri Sembilan FC pada 4 November lalu. Manakala Sang Saka Biru pula mahu melebarkan rekod tanpa kalah mereka kepada tiga perlawanan.
Nnabuike Chijioke Chukwu terus menjadi sandaran gol pemangku jurulatih Terengganu II, Haris Safwan Kamal. Manakala cabaran PDRM diperkuat beberapa pemain senior termasuk bekas pemain Perak FC, Shafizi Iqmal Khirudin.
Separuh masa pertama menyaksikan pelawat berusaha menembusi gawang tuan rumah menerusi Chijioke, Syahmi Zamri dan Daniel Shafik Mohamad.
Ini memaksa anak buah Azmi Mohamed diketuai Shafizi terpaksa bekerja keras mengekang asakan bertubi-tubi skuad muda Penyu.
PDRM kemudiannya terpaksa melakukan pertukaran awal pada minit ke-15 dengan mengeluarkan Nazrin Mohamad Nasir. Farhat Faizal dibawa masuk sebagai pengganti.
Gol yang dicari Terengganu II akhirnya hadir pada minit ke-31 menerusi penalti Chijioke. Ini selepas pengadil perlawanan, P. Jeevanathan mengesan kekasaran ke atas pemain Penyu dalam kotak penalti.
Penalti tersebut mudah disempurnakan Chijioke untuk gol ketujuhnya dalam saingan Piala MFL musim 2024/25. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada separuh masa kedua, PDRM terus menggiatkan serangan untuk mendapatkan gol penyamaan.
Kedua-dua pasukan mula mengamalkan corak permainan fizikal dalam usaha mengekalkan kawalan bola. Situasi ini memaksa Jeevanathan bekerja keras mengawal disiplin permainan.
Haris Safwan memasukkan Muslihuddin ‘Atiq Mat Zaid pada minit ke-70 menggantikan Daniel Shafik untuk mengekalkan momentum serangan Terengganu II.
Manakala Azmi pula membuat dua pertukaran pada minit ke-75. Beliau memasukkan Ismail Ibrahim dan Amirul Farhan Asmadi menggantikan Shafizi dan Syaameer Salleh untuk membantu PDRM mendapatkan gol penyamaan.
Malangnya, gol penyamaan yang dicari tidak kunjung tiba. Gol Chijioke pada separuh masa pertama memastikan ini kemenangan keenam pasukan Pantai Timur itu dalam saingan Piala MFL.
Keputusan ini menyaksikan Terengganu II memintas empat pasukan termasuk KL City FC Extension ke tangga keempat dengan 23 mata. Manakala Sang Saka Biru kekal di tangga kesembilan dengan 15 mata.
Selepas ini, skuad Penyu bakal menentang Sri Pahang FC pada 26 November. Manakala PDRM pula bertandang ke Stadium Likas pada hari yang sama untuk menentang Sabah FC II.