Pemain tengah Selangor FC, Picha Autra sah akan kekal beraksi di Thailand pada musim hadapan.
Sebelum ini, pemain tengah Thailand itu menyertai Bangkok United secara pinjaman sehingga tamat musim 2025/26. Meskipun hanya sempat beraksi sebanyak 11 kali, pengurusan kelab berpuas hati dengan impak Picha.
Justeru, pengurusan Bangkok United mengumumkan bahawa kelab itu telah menukar perpindahan pinjaman bekas kapten Muangthong United itu kepada perpindahan tetap.
Ini sebahagian daripada perancangan kelab itu untuk tampil lebih cemerlang pada musim 2026/27.
Selain itu, Bangkok United juga memilih mengekalkan khidmat Teerasil Dangda, Everton Goncalves, Chinnapong Raksri dan Lee Ki-jae.
Selepas menyertai Bangkok United, Picha merekodkan satu jaringan dan lima bantuan gol. Beliau kemudiannya terpaksa menamatkan musim lebih awal akibat kecederaan serius pada Mac lalu dan perlu menjalani pembedahan.
Berita ini dilihat membuka slot kosong buat Selangor untuk mencari pemain lebih berkualiti bagi menghadapi kempen musim hadapan.