Portugal Pecat Pengurus Fernando Santos
Piala Dunia
Ben Jacobs
Advertisements

Selepas Portugal tersingkir dari suku akhir Piala Dunia 2022 di tangan Maghribi, A Selecao memutuskan untuk memecat pengurus mereka, Fernando Santos walaupun mempunyai baki kontrak selama dua tahun. Dengan keputusan ini, Portugal mencari jurulatih baru bagi menggalas cabaran untuk kelayakan EURO 2024.

Pengurus veteran berusia 68 tahun itu dilantik sebagai pengurus Portugal pada 2014 menggantikan Paulo Bento selepas A Selecao tersingkir dari peringkat kumpulan Piala Dunia 2014. Bekas pengurus Greece itu kemudiannya mengemudi Portugal menjulang EURO 2016 dan Liga Negara-Negara UEFA 2019. Santos turut merekodkan kemenangan paling banyak dalam mana-mana pengurus Portugal.

Akaun Twitter rasmi Portugal mengeluarkan video pencapaian Santos sepanjang bersama A Selecao. Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF) dalam satu kenyataan menghargai khidmat bekas pengurus Porto itu dalam tempoh lapan tahun menguruskan pasukan kebangsaan. Kenyataan tersebut berbunyi, “Ia merupakan satu penghormatan mempunyai jurulatih dan individu seperti Fernando Santos yang menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan.

Advertisements

“FPF mengucapkan ribuan terima kasih kepada Fernando Santos dan pasukan teknikal atas khidmat yang diberi dalam tempoh lapan tahun yang unik dengan ucapan terima kasih dibuat bagi pihak seluruh warga Portugal. Lembaga FPF bakal memulakan proses memilih jurulatih pasukan kebangsaan seterusnya.”

Antara nama yang dicanang sebagai pengganti ialah bekas pengendali AS Roma, Paulo Fonseca dan bekas pengurus Manchester United, Jose Mourinho. Tidak kira siapa yang dibawa sebagai pengurus Portugal, mereka perlu bersedia menangani drama yang dibawa Cristiano Ronaldo dalam pasukan kebangsaan lebih-lebih lagi selepas legenda Real Madrid itu mengumumkan bersedia untuk bermain sehingga EURO 2024.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram