Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti memberi jaminan beliau akan mencari posisi sesuai buat kapten Perancis, Kylian Mbappe.
Mbappe sebelum ini melengkapkan perpindahan percuma ke Bernabeu selepas memilih tidak memperbaharui kontrak bersama Paris Saint-Germain.
Walau bagaimanapun, kehadiran penyerang berusia 25 tahun itu dijangka menyukarkan pengendali Itali itu membuat pilihan dari segi jentera serangan.
Ini kerana Los Blancos memiliki banyak pilihan di bahagian serangan seperti Vinicius Jr, Endrick, Juanmi Latasa, Rodrygo dan Arda Guler.
Justeru, Ancelotti perlu mencari jalan bagaimana untuk menggembirakan semua pemainnya tanpa mengorbankan keharmonian bilik persalinan Real Madrid. Meskipun berdepan dilema yang sukar, bekas pengendali Chelsea itu percaya beliau ada solusi untuk perkara berkenaan.
“Ini tanggungjawab saya untuk mencari tempat buat Mbappe. Kita akan carikan tempat untuk beliau, kita akan pastikan beliau cukup-cukup muat,” katanya seperti yang dilaporkan Diario Sport.
Mbappe dijangka terlibat untuk kempen Piala Super UEFA Los Blancos apabila berdepan juara Liga Europa, Atalanta pada 14 Ogos ini.