Kapten Perancis, Kylian Mbappe diperkenalkan secara rasmi sebagai pemain baru kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid.
Sebelum ini, penyerang berusia 25 tahun itu menyertai Los Blancos selepas memilih untuk tidak memperbaharui kontrak dengan kelab lamanya, Paris Saint-Germain. Ini membuka ruang kepada Real Madrid untuk mendapatkannya menerusi perpindahan percuma.
Sepanjang bersama PSG, Mbappe menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab itu dengan 255 gol dan enam gelaran juara Ligue 1. Walau bagaimanapun, beliau terlepas peluang menjulang Liga Juara-Juara UEFA (UCL) semasa berada di Paris.
Mbappe menjadi pemain Perancis terbaru menyertai Los Blancos. Beliau menyertai tiga lagi pemain Perancis yang berada di kelab itu iaitu Ferland Mendy, Eduardo Camavinga dan Aurelien Tchouameni.
Selepas melepasi ujian perubatan, Mbappe menandatangani kontrak selama lima tahun dengan presiden kelab, Florentino Perez. Penyerang Perancis itu kemudiannya diperkenalkan secara rasmi kepada penyokong di Bernabeu.
Seramai 80,000 orang hadir untuk menyaksikan pengenalan rasmi Mbappe. Disebabkan sambutan hangat yang diberi penyokong Los Blancos, ada yang menyamakan ia setaraf dengan majlis pengenalan legenda kelab sebelumnya seperti David Beckham dan Zinedine Zidane.
Apabila ditanya tentang matlamatnya untuk musim 2024/25, Mbappe berharap dapat membantu Real Madrid meraih lebih banyak trofi termasuk UCL.
“Saya menyertai kelab ini dengan cita-cita yang besar tetapi juga dengan penuh kerendahan hati. Saya mahu memenangi gelaran juara sebanyak mungkin, tetapi yang paling penting adalah membantu pasukan dan menyumbang perkara penting.
“Ini adalah pasukan yang luar biasa, yang saya mahukan adalah membantu pasukan sebaik mungkin. Saya mahu menikmati hidup saya dan menikmati setiap detik di sini.
“Ini adalah impian saya sepanjang hidup saya dan saya benar-benar mahu menceritakan kisah-kisah ini kepada anak-anak saya satu hari nanti,” katanya seperti yang dilaporkan akhbar Daily Mail.
Mbappe bakal menyarung jersi nombor 9. Ini disebabkan nombor kegemarannya, 7 dan 10 sudah digunakan oleh pemain lain.
Real Madrid berharap kecederaan hidung yang dialaminya semasa kempen EURO 2024 sudah pulih. Ini bagi membolehkannya fokus terhadap kempen pra-musim 2024/25.