Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar kemenangan pertama dalam aksi pra-musim di Sepanyol selepas membelasah CD Contestano pada awal pagi Selasa.
Kemenangan 8-0 dicatatkan oleh JDT pada perlawanan ketiga di Sepanyol dalam kempen pra-musim seakan melepaskan geram apabila hanya terikat seri dan tewas tipis dalam dua aksi awal mereka yang diadakan di Alicante.
Bergson da Silva mencuri tumpuan sekali lagi menerusi dua gol awal dalam tempoh 3 minit untuk membuka tirai jaringan sebelum Ager Aketxe, Stuart Wilkin dan Manuel Hidalgo mengakhiri babak pertama dengan kelebihan 5-0.
Kembali dari rehat, Matt Davies tak menunggu lama bagi mencetak gol ke-6 JDT pada minit ke-46, disusuli jaringan peribadi kedua Manuel Hidalgo selang 10 minit kemudian dan Miquel Cuesta melengkapkan kemenangan besar di penghujung aksi.
Aksi ketiga pra-musim JDT di Sepanyol berakhir dengan kemenangan besar 8-0 dan menanti juara Liga Super Malaysia ini di perlawanan keempat nanti adalah Elche CF yang menamatkan kempen LaLiga di tangga ke-15 musim lalu.
Untuk rekod, JDT sudah pun mencatatkan satu kemenangan, satu keputusan seri menentang Rangers dan satu kekalahan di tangan Al-Ettifaq dalam aksi pra-musim di Sepanyol dengan 6 lagi perlawanan berbaki sebelum kembali ke Malaysia.