Prospek warisan bola sepak wanita Malaysia, Allyssa Ng-Saad meraih trofi pertamanya bersama kelab Western Sydney Wanderers.
Ini selepas pasukan itu menewaskan Wellington Phoenix 1-0 untuk merebut trofi Sister Cities Cup pada 29 Mac lalu. Aksi itu juga merupakan aksi terakhir A-League Women musim ini.
Sister Cities Cup diadakan bagi meraikan hubungan erat antara Blacktown City dan Porirua yang terjalin sejak 1984.
Sejak diperkenalkan dalam saingan A-League pada 2018, pertembungan kedua-dua pasukan ini bukan saja peluang meraih tiga mata penuh.
Malah, ini juga peluang buat kedua-dua pasukan mempamerkan kemahiran, keazaman dan semangat persaingan yang sihat.
Yuan Cong muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan buat Western Sydney Wanderers. Kemenangan ini memastikan trofi Sister Cities Cup menjadi milik pasukan itu.
Kejayaan ini juga dilihat mampu menjadi tonik buat Western Sydney Wanderers untuk tampil lebih cemerlang pada musim hadapan.
Berita kejayaan Allyssa dan kelab itu bukan saja dikongsikan di platform rasmi mereka. Malah, berita ini turut dikongsikan oleh Harimau Abroad.