Umum mengetahui bahawa pemain Manchester United, Cristiano Ronaldo terdesak untuk meninggalkan Old Trafford selepas kelab tersebut gagal layak ke Liga Juara Juara Eropah. Pemain itu juga melihat pihak kelab gagal bertindak efisien dalam pasaran perpindahan.
Dua sebab utama itu merupakan punca utama mengapa Ronaldo ingin meninggalkan Manchester United. Agen Ronaldo, Jorge Mendes baru-baru ini dikhabarkan menawarkan khidmat bintang Portugal itu kepada kelab Perancis, Paris Saint-Germain (PSG).
Mendes telah mengadakan perbincangan bersama pemilik PSG, Nasser Al-Khelaifi dan pengarah sukan PSG, Luis Campos. Perbincangan itu adalah bertujuan untuk melihat potensi perpindahan Ronaldo ke PSG dalam waktu terdekat ini.
Menurut satu sumber, PSG tidak merasakan bahawa Ronaldo merupakan pemain yang tepat untuk dibawa masuk pada ketika ini dan kelab itu tidak mempunyai kewangan yang cukup dalam untuk membayar gaji semahal Ronaldo.
Dengan memiliki tiga pemain bintang dunia iaitu Lionel Messi, Kylian Mbappe dan Neymar pada ketika ini, adalah sulit untuk PSG menandatangani Cristiano Ronaldo. Kemungkinan besar, mereka perlu menjual ramai pemain jika mahu menandatangani pemain bintang berusia 37 tahun itu.
Untuk rekod, PSG bukanlah pasukan pertama yang mengatakan tidak kepada khidmat Ronaldo kerana sebelum ini Bayern Munich juga menolak kemungkinan untuk menandatangani Ronaldo.
Dengan kontrak Ronaldo yang berbaki setahun bersama Manchester United, pemain tersebut dijangka kekal beraksi di Old Trafford sehingga tamat kontrak pada Jun 2023 selepas tiada kelab yang mampu menampung gaji beliau.