Meskipun berstatus pendatang baru dalam saingan Liga A1 Semi Pro, PT Athletic FC menunjukkan mereka serius sebagai pencabar liga.
Ini kerana PT Athletic menerapkan intensiti latihan pasukan mirip pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super.
Perkara ini dikongsikan sendiri pengendali pasukan itu, Nazrulerwan Makmor dalam satu temubual bersama Nadi Arena.
Nazrulerwan memaklumkan penerapan intensiti dilihat bukan satu isu buat PT Athletic. Ini kerana ramai pemain pasukan itu pernah beraksi dalam Liga Super.
Penerapan intensiti latihan berkenaan turut membantu pasukan itu beradaptasi dalam saingan Liga A1 Semi Pro dengan mudah.
“Kalau ikutkan dari segi teknikal (dan) staf kejurulatihan, kita membuat (latihan) sama saja macam Liga Super. Sebab apa yang kita lihat pemain-pemain ini sudah tahu latihan di Liga Super. Jadi, adaptasi ke Liga A1 ini tiada masalah buat mereka,” katanya.
PT Athletic dibarisi ramai bekas pemain Liga Super seperti Amri Yahyah, Indra Putra Mahayuddin, Syazwan Zainon, Adib Zainudin, Hafiz Ramdan, Azarul Nazarith dan Abdul Latiff Suhaimi.
Selepas berehat dalam aksi kedua liga, PT Athletic meneruskan kempen dengan menentang Harini FT pada 22 Jun.