Hasrat Malaysia untuk berdepan tuan rumah Piala Asia, Qatar lebur apabila pasukan tersebut memilih Kemboja dan Jordan bagi aksi persahabatan.
Skuad kendalian Kim Pan-gon sebelum ini merancang untuk berdepan Arab Saudi namun ketua jurulatih lawan, Roberto Mancini membuat keputusan untuk tidak bertemu Harimau Malaya.
Hal ini susulan beliau menjangkakan akan bertemu Malaysia pada pusingan 16 terakhir susulan prestasi memberangsangkan skuad kebangsaan.
Oleh yang demikian, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato’ Hamidin Mohd Amin memaklumkan bahawa pihaknya sedang berusaha untuk mencari tiga lawan berprofil tinggi buat pasukan kebangsaan dan salah satunya adalah Qatar.
Hasrat Harimau Malaya bagaimanapun lebur selepas pengumuman dari Qatar menyaksikan mereka lebih memilih Jordan dan Kemboja sebagai lawan persahabatan.
Ketika ini, satu-satunya pasukan yang telah mengesahkan persetujuan untuk bertemu Malaysia adalah pasukan ke-91 dunia iaitu Syria.
Malaysia akan bertemu pasukan bimbingan Hector Cuper itu pada 8 Januari 2024 di Qatar iaitu seminggu sebelum berdepan Jordan bagi aksi pembukaan Piala Asia di Stadium Al-Janoub.
Harimau Malaya membawa rekod cemerlang selepas memperoleh tambahan +26.1 mata untuk melonjak ke kedudukan 130 dunia berbanding 137 dunia sebelum ini.