Bekas pemain Kelantan dan Kelantan United, Qayyum Marjoni tekad mahu membina semula nama dan kariernya selepas setahun ‘hilang’ dari radar.
Bakal beraksi bersama Kuching City, pemain pertahanan kiri berusia 29 tahun itu berterima kasih kepada Irfan Bakti kerana peluang yang diberikan pengendali itu untuk dia membuat ‘comeback’.
“Semuanya bermula pada musim lalu apabila saya beraksi di Liga M3 bersama PIB dan satu perlawanan persahabatan telah diaturkan dengan Kuching City.
“Di situ Irfan Bakti nampak kelibat saya dan kami sebenarnya bukanlah asing kerana beliau sebenarnya pernah mengajak beraksi bersama Terengganu pada 2018 tetapi saya memilih ke PKNS.
“Jadi tidak sangka sekali lagi kesempatan hadir untuk saya bersama Irfan dan terima kasih juga kepada beberapa individu yang membantu merealisasikan perpindahan saya ke Kuching.
“Azam saya bersama Kuching City ialah mahu menaikkan kembali nama saya di dalam Liga Malaysia serta mahu mendapat panggilan kebangsaan,” kata Qayyum yang pernah menyarung jersi skuad remaja negara (Harimau Muda B).
Beberapa tahun lepas, Qayyum pernah dianggap sebagai salah seorang pemain bek kiri terbaik dalam negara berikutan prestasi cemerlangnya selama dua musim bersama The Red Warriors sebelum dia dipancing PKNS FC (kini Selangor II).
Selepas dua musim, dia berhijrah pula ke KL City sebelum kembali ke negeri kelahiran untuk bermain dengan Kelantan United pada 2021.
Ini adalah kali pertama dia akan bermain di kepulauan Borneo namun tidak menjadi masalah besar buatnya untuk menyesuaikan diri.
“Saya kagum dengan semangat kekeluargaan di sini, semua pemain serta jurulatih sentiasa membantu saya apabila mula-mula sampai di sini.
“Semua pemain diberi ruang untuk berikan pandangan dan pihak atasan sering turun ke padang untuk berjumpa kami, ini sesuatu yang sangat menarik.
“Selain itu, saya juga berasa bangga kerana dapat belajar sesuatu dari pemain berpengalaman, Rames Lai Ban Huat, yang telah berusia 43 tahun, antara pemain yang saya sangat hormati,” katanya lagi.