Ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon sepenuhnya yakin dengan persiapan skuad kebangsaan untuk aksi bertemu China kelak.
“Kami telah mengkaji mereka dan telah mempunyai rancangan yang rapi berdepan China. Kami tahu tentang taktikal dan corak permainan pasukan China.” jelas Kim Pan-gon dalam sidang media pra-perlawanan Malaysia menentang China.
Ketua jurulatih itu turut mahukan anak buahnya menampilkan aksi yang cemerlang untuk tatapan para penyokong Harimau Malaya.
“Kami mahu berikan permainan yang bagus untuk para penyokong, bukan sahaja buat penonton pasukan Malaysia malah untuk penonton pasukan China juga.” tambah beliau lagi.
Skuad Harimau Malaya kini berada dalam suasana yang positif setelah berjaya mengikat pasukan Syria yang berada di ranking ke-94 dunia.
Perlawanan persahabatan ini penting bagi pasukan Malaysia dalam menerima cabaran pasukan yang lebih kuat untuk meningkatkan mutu permainan pasukan dan dalam masa yang sama memperbaiki ranking bola sepak Malaysia.