DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah memaklumkan bahawa baginda tidak berminat merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC), Datuk Irwan Rizal Mohd Ali Napiah mengesyorkan ahli kerabat diraja tampil merebut jawatan tertinggi badan induk itu.
Irwan Rizal turut mengemukakan nama KDPB Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dan Tengku Amir sebagai calon terbaik jawatan berkenaan.
Susulan itu, Tengku Amir memaklumkan bahawa baginda tidak berminat merebut jawatan berkenaan.
Pada masa sama, baginda akan memberi sokongan kepada mana-mana figura yang akan menganggotai barisan kepimpinan baharu FAM.
“Saya akan memberi sokongan. Saya akan lakukan yang terbaik dan memberi idea baharu kepada bola sepak Malaysia tetapi saya tidak akan bertanding,” katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
Tengku Amir menjadi figura terbaru yang tidak berminat merebut jawatan Presiden FAM. Sebelum ini, Pengerusi Kuching City FC, Dato’ Fazzrudin Abdul Rahman turut menyatakan perkara sama.