Ramalan Ketua Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil tentang penantian Selangor akhirnya menjadi kenyataan.
Skuad Gergasi Merah akhirnya menamatkan penantian untuk merekodkan kemenangan di laman lawan sejak awal musim lalu selepas menundukkan Sabah di Likas.
Jaringan akhir permainan oleh pertahanan tengah, Harith Haiqal memastikan Selangor pulang dengan 3 mata.
Situasi ini sekaligus menyaksikan ramalan Nidzam yang amat yakin bahawa anak buahnya bakal menamatkan penantian kemenangan dalam masa terdekat di laman lawan.
“Bukan saya sahaja, pemain juga tidak gembira selepas seri. Ini menunjukkan kita amat serius untuk mendapatkan keputusan.
“Saya suka tentang sikap pemain yang tidak sukakan keputusan seri. Cepat atau lambat kita akan menang di tempat lawan. Akan tetapi, percayakan saya dan juga para pemain,” ujarnya selepas aksi menentang Penang di Stadium MBPJ tempoh hari.
Kemenangan ini juga membolehkan Selangor FC merapatkan kedudukan dengan pendahulu liga, JDT dengan perbezaan hanya 3 mata.
Selangor dalam persiapan akhir sebelum menentang JDT bagi aksi final Piala FA 2024 pada 24 Ogos depan.