Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia masih mengekalkan kedudukannya dalam kelompok sepuluh pemain terbaik dunia.
Menerusi kemas kini ranking dunia yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Selasa lalu menyaksikan tiada perubahan melibatkan kedudukan Zii Jia sebagai pemain kesepuluh terbaik dunia ketika ini.
Pemain kelahiran Alor Star ini mengumpul 69856 mata hasil persembahan cemerlangnya dalam kejohanan-kejohanan sebelum ini termasuklah membantu skuad negara meraih tempat ketiga Thomas Cup di Chengdu, China beberapa minggu lalu.
Kedudukan Zii Jia kini dihimpit rapat oleh dua pemain utama dari India iaitu HS Prannoy dan juga pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2022, Lakhsya Sen yang masing-masing berada di ranking kesembilan dan ke-11 dunia.
Seorang lagi wakil negara, Ng Tze Yong yang kini sedang menjalani pemulihan akibat kecederaan berada di kedudukan ke-18 dunia dan pihak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah memohon perlindungan ranking bagi pemain kelahiran Johor itu.
Zii Jia dan beberapa pemain negara yang lain seperti Leong Jun Hao, Haikal Nazri dan Choong Hon Jian kini berada di Bangkok, Thailand bagi menghadapi kejohanan Thailand Open yang bermula 14 Mei hingga 19 Mei.
Aksi pusingan kedua Thailand Open pada Khamis menyaksikan Zii Jia dijadualkan bertemu wakil Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin selepas berjaya membenam cabaran Lei Lan Xi pada pusingan pertama semalam.