Kekalahan Indonesia kepada Jepun dan kemenangan Malaysia ke atas Laos dalam tetingkap FIFA terakhir tahun ini memberi ruang buat skuad kendalian Pau Marti kembali berada di atas Indonesia dalam kemas kini masa-nyata ranking FIFA.
Malaysia kini berada di kedudukan ke-129 dengan 1,116.89 mata manakala Indonesia di kedudukan ke-130 dengan 1,115.94 mata.
Kekalahan Indonesia terhadap Jepun 0-4 di Gelora Bung Karno memberikan Indonesia kehilangan -2.93 mata manakala Malaysia memperoleh tambahan +2.97 mata selepas berjaya menewaskan Laos 1-3 di Thailand.
Indonesia sebelum ini ketinggalan jauh di bawah Malaysia dari segi ranking FIFA namun berjaya memintas Malaysia selepas mara ke pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia.
Keputusan yang mengejutkan sebelum ini selepas berjaya mengikat Arab Saudi, Australia dan Bahrain memberikan banyak mata tambahan terhadap Indonesia namun 2 kekalahan terakhir iaitu berhadapan China dan Jepun sedikit menggangu pergerakan ranking Indonesia.
Indonesia akan melayani kunjungan Arab Saudi pada 19 November ini untuk aksi seterusnya pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia manakala Malaysia akan bertemu India pada 18 November ini di Stadium Gachibowli, Hyderabad untuk aksi persahabatan antarabangsa.