Kelab handalan negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) kini mencipta satu lagi kebanggaan di Asia apabila menghuni tangga ke-13 dalam senarai kelab FIFA mengikut konfederasi AFC.
Skuad Harimau Selatan mengharungi musim yang cukup memberangsangkan sungguhpun perjalanan di Asia terhenti pada peringkat kumpulan.
JDT berjaya mengekalkan 4 trofi kejuaraan domestik yang dimenangi tahun lalu sambil terus menapak untuk mengukuhkan langkah di Asia.
Menerusi satu kemas kini oleh laman FIFA, JDT kini berada pada kedudukan ke-13 di Asia dalam senarai pasukan yang berpeluang untuk layak ke Piala Kelab Dunia 2025.
JDT mengumpul 38 mata dan muncul selaku pasukan ke-2 di Asia Tenggara di belakang jaguh Thailand, BG Pathum United yang berada di tangga ke-9 Asia.
Juara bertahan Asia, Urawa Reds berada pada kedudukan ke-8 dengan 49 mata namun sudah mengesahkan kemaraan ke Mundial de Clubes FIFA 25 selaku juara bertahan.
Al-Hilal kini merupakan pasukan di tangga pertama dengan 106 mata sementara Jeonbuk Motors dan Ulsan Hyundai masing-masing di tangga ke-2 dan ke-3 Asia.
Pasukan yang layak ini akan membuat kemunculan dalam Mundial de Clubes FIFA 25 dan akan menampilkan kelab dari setiap enam konfederasi yang akan berlangsung di Amerika Syarikat.
Hal ini bermaksud pertandingan ini akan disertai kelab-kelab dari UEFA (12), CONMEBOL (1), CAF (4), CONCACAF (4), AFC (4) dan sebuah kelab dari negara tuan rumah.
Kejohanan ini juga difahamkan akan menggunakan format yang sama seperti Piala Dunia Qatar 2022 dengan 32 pasukan akan dibahagikan kepada 8 kumpulan.
Baca Lain: Format Piala Kelab Dunia 2025
Asia telah diberikan 4 slot yang telah pun disahkan oleh Al-Hilal dan Urawa Reds sementara dua lagi slot masih terbuka dengan Jeonbuk Motors dan Ulsan Hyundai berpeluang untuk membawa nama Asia.