Advertisement
Rasmi: Malaysia Tolak Tawaran Tuan Rumah Sukan Komanwel 2026
UltraSukan
UltraSukan
MSN

Malaysia sah menolak peluang bergelar tuan rumah Sukan Komanwel 2026 menggantikan Victoria, Australia.

Pendirian ini dinyatakan menerusi satu kenyataan media oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang dibuat hari ini.

Antara sebab tawaran yang dikemukakan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) ditolak kerajaan ialah geran penajaan berjumlah £100 juta (RM603 juta) tidak akan cukup meliputi kos penganjuran temasya.

Selain itu, kerajaan juga tidak dapat mengenalpasti impak ekonomi yang dapat direalisasikan dalam tempoh dua tahun temasya tersebut bakal diadakan.

Akhir sekali, kerajaan melihat kos kewangan Sukan Komanwel boleh dialihkan kepada urusan yang mementingkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Kementerian Belia dan Sukan hari ini mengumumkan keputusan Kerajaan untuk tidak menerima tawaran daripada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sebagai tuan rumah temasya Sukan Komanwel 2026.

“Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang hari ini telah mengambil keputusan tersebut setelah meneliti semua aspek penganjuran dan implikasi.

“Kerajaan Madani mengucapkan terima kasih kepada CGF atas penawaran tuan rumah Sukan Komanwel 2026. Namun, pada ketika ini kerajaan mahu memberi fokus kepada pembangunan sukan serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” kata KBS dalam satu kenyataan.

Malaysia sebelum ini ditawarkan peluang sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026 oleh CGF susulan penarikan diri negeri Victoria, Australia.

Victoria berbuat demikian kerana tidak mampu menanggung anggaran kenaikan kos penganjuran dari AU$2.6 bilion (RM8.09 bilion) kepada AU$7 bilion (RM21.78 bilion).