Safee Sali Umumkan Persaraan
Liga Super
Astro Arena
Advertisements

Selepas berkecimpung sebagai pemain bola sepak selama 19 tahun, Safee Sali mengumumkan persaraan dari dunia bola sepak hari ini. Keputusan ini diumumkan dalam satu sidang media khas di Sofitel Kuala Lumpur, Damansara.

Menurut bekas penyerang KL City itu, keputusan ini bukan sesuatu yang mudah. Tetapi melihat dirinya tidak dapat bersaing secara kompetitif dengan pemain lain terutama di bahagian serangan, maka persaraan dilihat sebagai langkah terbaik.

“Saya merasakan walaupun saya tidak mempunyai kecederaan yang serius, tapi saya rasakan tidak mampu lagi bersaing secara kompetitif dengan pemain lain terutama di bahagian serangan.

Advertisements

“Saya rasa saya boleh beralih kepada bab seterusnya dalam kehidupan. Selepas ini, saya boleh fokus kepada apa yang mahu saya lakukan terutamanya akar umbi pemain-pemain muda kita,” katanya dalam sidang media hari ini.

Bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut memberitahu persaraannya dari dunia bola sepak bukan bermakna penglibatannya dalam bola sepak sudah berakhir. Malah, Safee sudah menggariskan beberapa rancangan masa depannya pasca-karier permainannya.

“Saya mempunyai perancangan untuk membuka akademi bola sepak dan padang bola saya sendiri. Itu merupakan perancangan masa hadapan selepas ini.

Advertisements

“Dan tugasan pundit bersama Astro Arena, saya takkan meninggalkan terus industri bola sepak. Saya akan terus memberi input-input yang pernah saya belajar, pengalaman yang saya dapat dan saya akan kongsikan dengan peminat-peminat bola sepak tanah air untuk memberi pengetahuan semula kepada komuniti.

“Tak lupa juga kepada peminat-peminat saya di luar sana yang ingin mengetahui siapakah latar, tulang belakang kejayaan saya selama ini, saya sedang membuat dokumentari tentang jatuh dan bangun seorang Safee Sali.

“Selepas ini, saya ada rancangan untuk membuka saluran YouTube Sports Tarik untuk berkongsi. Dan pengalaman saya takkan meninggalkan langsung dunia sukan.

Advertisements

“Niat saya ialah membangunkan sukan bola sepak tanah air. Dan segala minat dan kasih sayang saya terhadap bola sepak, saya takkan tinggalkan,” tambahnya.

Safee amat dikenali penyokong bola sepak negara kerana membantu Harimau Malaya menjulang Piala AFF pada 2010. Selain itu, beliau telah merasai banyak pencapaian termasuk Piala Malaysia bersama JDT dan naib juara Piala AFF musim lepas bersama KL City.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram