Advertisements
Rasmi : Sri Pahang Sambar Khidmat Kpah Sherman
Dunia
MakanBola
Sri Pahang FC

Penyerang import dari Liberia, Kpah Sherman sah akan memperkuatkan Sri Pahang dalam kempen Liga Malaysia 2023.

Kehadiran pemenang kasut emas Liga Super 2019 bersama PKNS FC itu diumumkan secara rasmi kelab pantai timur itu pada Selasa.

“Sri Pahang berbesar hati memperkenalkan pemenang kasut emas Liga Super 2019, Kpah Sherman sebagai wajah baru di barisan serangan.

“Sejak beraksi di Liga Malaysia bermula 2017, penyerang dari Liberia ini telah membuktikan dirinya sebagai antara penyerang berkualiti ‘kaki gol’ dengan meledak keseluruhan 72 gol bersama MIFA, PKNS, Kedah dan Terengganu.

“Selamat datang Kpah ke Darulmakmur, semoga terus bernafsu memburu jaringan,” menurut kenyataan kelab itu.

Kpah Sherman merupakan pemain import baru keempat Sri Pahang selepas turut membawa masuk John Glassock, Lucas Espindola dan Stefano Brundo. Mereka masih belum mengumumkan secara rasmi mengenai status Kevin Ingreso dan Sherzod Fadziyev.

Penyokong tok gajah pastinya sudah tidak sabar untuk melihat gandingan Kpah-Espindola dan meletakkan harapan tinggi mereka dapat membawa impak sama seperti gandingan Matias Conti-Dickson Nwakaeme pada 2014.

Dengan membawa masuk pemain-pemain yang serba berkualiti, jelas sekali Sri Pahang tampak begitu serius mahu bangkit memberi tentangan dalam Liga Malaysia kali ini selepas mengharungi beberapa musim yang suram.