Bekas pemain kebangsaan, Razman Roslan menganggap peranan pemain sayap Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Sony Norde di bahagian serangan Kedah membantutkan corak serangan pasukan kendalian Nafuzi Zain itu.
Bagi Razman, Sony telah membuat banyak gerakan namun Sony memperlahankan gerakan dan sekali gus membantutkan serangan Kedah.
Keadaan itu dikesan Razman ketika Kedah tewas tipis 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman, tempoh hari.
“Serangan dari pasukan Kedah, saya nampak Sony (Norde) memang dia ada buat banyak gerakan tetapi dia agak lambat. Dia delay pergerakannya.
“Jadi dekat situ mungkin membantutkan (serangan Kedah). Maknanya sentuhan terakhir (penyudah) dia tiada di situ,” jelas Razman kepada Astro Arena.
Sony Norde merupakan pemain yang paling sibuk dalam perlawanan itu dengan larian-larian kencangnya acap kali menewaskan beberapa pertahanan JDT.
Kedua-dua pasukan akan bertembung lagi dalam separuh akhir kedua Piala FA yang dijadualkan berlangsung pada 4 Ogos depan bertempat di Stadium Sultan Ibrahim.