Advertisement
Rekod 22 Tahun Usain Bolt Lebur Di Tangan Pelari 16 Tahun
UltraSukan
UltraSukan
SportsMax TV/Nick Webb/CC BY-2.0

Rekod pelari pecut legenda, Usain Bolt selama 22 tahun akhirnya lebur di tangan seorang pelari muda Jamaica baru-baru ini.

Pelari pecut berusia 16 tahun, Nickecoy Bramwell mencipta sensasi dengan memecahkan rekod acara lari 400 meter (m) dalam temasya Carifta Games Ke-51 yang diadakan di Grenada.

Sebelum ini, Bolt mencipta catatan masa 47.33 saat (s) dalam satu kejohanan olahraga Bawah 17 Tahun (B-17) pada 2002. Rekod tersebut kekal tidak dicabar selama 22 tahun.

Meskipun berjaya layak ke final acara 400 m, tiada siapa menyangka Bramwell berupaya memecahkan rekod pelari legenda itu.

Ini kerana terdapat sedikit kebimbangan daripada kontinjen Jamaica tentang tahap kecergasannya sebelum final acara 400 m.

Walau bagaimanapun, Bramwell membuktikan keupayaannya dengan merekodkan catatan masa baru iaitu 47.26s.

Pelari muda itu mengakui gembira kerana berjaya memecahkan rekod yang dilakar Bolt. Malah, itu juga merupakan sasarannya bila menyertai Carifta Games.

“Ia satu perasaan yang hebat untuk memecahkan rekod tersebut. Sejak musim panas lepas, saya sudah mengintai peluang (memecahkan) rekod itu.

“Jadi, ia satu perasaan yang hebat bila saya datang ke sini dan melakukannya. Saya hanya perlu tenang dan fokus kepada rekod berkenaan,” katanya seperti yang dilaporkan TalkSport.

Bolt menjadi pujaan peminat olahraga kerana menggondol lapan pingat emas Sukan Olimpik dan memiliki enam rekod dunia acara lari pecut sebelum bersara pada 2017.