Advertisements
Rekod 5 Pertemuan Terakhir Laos vs Malaysia
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Rekod lima pertemuan terakhir membabitkan Laos dan Malaysia dilihat memberi keyakinan kepada penyokong Harimau Malaya.

Ini kerana dalam lima aksi terakhir kedua-dua pasukan sejak 2010, Harimau Malaya meraih kemenangan selesa ke atas Million Elephants.

Ini termasuk kemenangan besar 5-0 yang direkodkan dalam aksi peringkat kumpulan ASEAN Championship 2022 pada 24 Disember 2022. Dua gol Faisal Halim, Sergio Aguero, Haqimi Azim Rosli dan Stuart Wilkin memastikan 29,961 orang Ekor Harimau Malaya pulang ceria.

Skuad negara yang dibimbing Pau Marti Vicente berharap trend ini dapat diteruskan dalam aksi persahabatan antarabangsa dengan Laos yang diadakan di Bangkok, Thailand.

Meskipun begitu, Malaysia harus berwaspada dengan cabaran Laos yang kini menerima sentuhan jurulatih Korea Selatan, Ha Hyeok-jun. Ini kerana Laos berpotensi mencipta kejutan berdasarkan rekod lampau.

Kali terakhir skuad negara tewas kepada Million Elephants ialah aksi peringkat kumpulan Sukan SEA 1997. Skuad negara yang ketika itu dibarisi pemain handalan seperti Azman Adnan, Datuk Zainal Abidin Hassan dan Yap Wai Loon tewas 1-0 menerusi jaringan jarak jauh Keolakhone Channiphone.

Selain itu, Laos juga beberapa kali mengikat Harimau Malaya di peringkat antarabangsa. Kali terakhir keputusan seri dicatatkan antara kedua-dua negara direkodkan pada 22 Disember 2002.

Malaysia yang ketika itu dibimbing Allan Harris menyangka sudah meraih tiga mata untuk aksi terakhir peringkat kumpulan ASEAN Championship 2002 menerusi penalti Nidzam Jamil. Visay Phaphouvanin memastikan kedua-dua pasukan meraih satu mata pada akhir perlawanan.

Rekod-rekod ini dijangka membakar semangat Harimau Malaya untuk memburu kemenangan ke atas Laos di Bangkok pada 14 November ini.