Pemain pertahanan Terengganu, Muhammad Safwan bin Mazlan mencatat nama sebagai penjaring dalam aksi final Piala Merlion 2023 yang berlangsung di Singapura.
Turun membarisi kesebelasan utama pasukan, Safwan tampil begitu cemerlang mengemudi benteng pertahanan negara bersama Harith Haikal dan Ubaidullah Shamsul.
Pemain yang terkenal dengan kelebihan rembatan jarak jauh itu beberapa kali dilihat naik keatas membantu barisan serangan. Pada babak pertama permainan, beliau sempat melepaskan satu rembatan kencang bagaimanapun percubaan itu berjaya diselamatkan penjaga gol Hong Kong.
Bersambung babak kedua permainan, Harimau Muda akhirnya hadir memecah kebuntuan menerusi jaringan Najmudin Akmal pada minit ke-74 permainan.
Tatkala Malaysia semakin selesa mendahului di hadapan, hantaran daripada sebelah kiri padang oleh Ubaidullah Shamsul telah disempurnakan Safwan Mazlan untuk jaringan kedua pasukan.
Rembatan deras Safwan dari luar kotak penalti cukup cantik menerjah jaring. Kali ini, ledakan pemain berusia 23 tahun itu gagal diselamatkan oleh penjaga gol lawan sekaligus memastikan Malaysia mencatat kemenangan mengatasi pasukan Hong Kong dengan keputusan 2-1.
Piala ini merupakan gelaran pertama yang diraih skuad bawah 22 tahun negara di bawah kendalian ketua jurulatih, E. Elavarasan.
Kejuaraan Piala Merlion 2023 ini semestinya bakal menjadi pembakar semangat buat skuad muda negara sebagai persiapan pasukan untuk ke temasya Sukan SEA 2023. Malaysia dalam misi menamatkan kemarau pingat emas Sukan SEA setelah kali terakhir memenanginya pada edisi 2011 di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.
Sukan SEA 2023 dijadualkan berlangsung di Phnom Penh, Kemboja pada bulan Mei kelak.