Richard Chin Intai Peluang Rebut Tempat Ke Piala Asia

Richard Chin Charlton Athletic FC Richard Chin Intai Peluang Rebut Tempat Ke Piala Asia
Charlton Athletic FC
Azim Noor @mohdazim45
1:05pm 11/03/2023

Nama bek tengah berdarah Malaysia-Seychelles, Richard Chin menjadi tumpuan selepas membantu kelabnya, Charlton Athletic menyingkirkan Brighton dalam Piala Carabao tahun lepas. Dan kini, bek tengah berusia 20 tahun itu berharap dapat mewakili Malaysia ke Piala Asia 2023 yang bakal diadakan pada tahun hadapan.

Walaupun berpeluang mewakili England dan Seychelles di peringkat antarabangsa, Richard sentiasa konsisten memilih Malaysia sebagai pasukan yang mahu diwakilinya. Malah, sebaik mendapat tahu pemain warisan sepertinya berpeluang membarisi Harimau Malaya, dia mengarahkan ejennya untuk berhubung dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Ejen saya sedang mengusahakannya, bercakap dengan FAM tentang jurulatih melihat saya bermain. Dan seperti biasa, saya mahu menjadi pemain bola sepak terbaik mengikut kemampuan saya dan semua itu akan berlaku dengan sendirinya,” katanya semasa ditemubual wartawan Astro SuperSport, Michelle Lee.

Begitupun, Richard sedar dia bakal berdepan saingan sengit untuk slot bek tengah Harimau Malaya. Ini kerana terdapat ramai pemain berbakat yang bisa dipanggil oleh jurulatih Kim Pan-gon sebagai sebahagian daripada skuad Piala Asia 2023.

Ini termasuk Shahrul Saad dan Aidil Zafuan Abd Radzak (Johor Darul Ta’zim (JDT)), Sharul Nazeem Zulpakar (Selangor) dan Dominic Tan (Sabah). Tetapi bagi Richard, apa saja boleh berlaku dalam bola sepak dan jika diberi peluang, dia bersedia memanfaatkan peluang yang diberi kepadanya.

“Ya, saya berharap itu berlaku. Sebab satu perkara saya belajar dalam bola sepak, seminggu merupakan satu tempoh yang lama. Saya hanya boleh fokus kepada permainan dan lihat apa berlaku seterusnya, sudah tentu saya mengintai peluang untuk bermain di sana (Piala Asia),” tambahnya.