Pemain pertahanan muda negara, Richard Chin terus menimba pengalaman menerusi kelab pinjaman terbarunya di England.
Bek tengah Charlton Athletic itu menyertai kelab pinjaman terbarunya, Bath City selepas dipanggil kembali daripada tempoh pinjamannya bersama Dartford sebelum ini.
Chin dijangka kekal bersama The Romans sehingga tamat musim ini. Sebelum ini, beliau merekodkan enam penampilan bersama Dartford.
“Kami dengan rasa gembira mengumumkan perpindahan Richard Chin dari Charlton Athletic secara pinjaman semusim.
“Seorang pemain yang mampu beraksi di posisi tepi, Chin memiliki pengalaman dalam Liga Bola Sepak Inggeris (EFL) dan Liga Kebangsaan Selatan Vanarama (VNLS) serta baru-baru ini mewakili Malaysia di peringkat bawah 23 tahun.
“Selamat datang ke Twerton Park, Richard!” kata kelab dalam satu kenyataan.
Chin tidak menunggu lama untuk membuat impak bersama pasukan yang dibimbing Jerry Gill itu semalam.
Ini selepas beliau mempamerkan persembahan cemerlang di bahagian pertahanan The Romans dalam perlawanan menentang kelab pinjaman lamanya, Dartford.
Perlawanan tersebut berakhir dengan kemenangan 1-0 buat Bath City. Sementara Chin pula dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.
Kemenangan ini menyaksikan The Romans mengutip tiga kemenangan berturut-turut dalam tiga perlawanan terakhir VNLS.