Legenda Brazil, Roberto Carlos menafikan laporan bahawa beliau telah memeluk Islam baru-baru ini.
Laporan legenda Real Madrid itu memeluk Islam timbul susulan kisah yang dikongsikan ahli politik Turkiye, Ali Sahin ketika mengadakan pertemuan dengan para pemimpin komuniti Islam Brazil.
Sahin memaklumkan seorang pemimpin komuniti berkenaan menceritakan bahawa Carlos mengucap dua kalimah syahadah di hadapan beliau lebih sebulan lalu.
Ini ditambah dengan gambar pernikahan beliau dengan isterinya, Souhaila El Tahiri yang tular di media sosial. Gambar tersebut dijadikan bukti tambahan bahawa legenda berusia 53 tahun itu telah memeluk Islam.
Saudi Gazette kemudiannya melaporkan Carlos menafikan laporan bahawa beliau telah memeluk Islam seperti yang tular baru-baru ini.
“Saya memiliki rasa hormat yang tinggi terhadap Islam dan ianya sesuatu yang menakjubkan melihat isteri saya bersolat. Tetapi khabar angin yang tersebar tentang saya memeluk Islam tidak benar,” katanya.
Legenda Los Blancos itu turut menjelaskan upacara perkahwinan dengan isterinya, seorang ejen bola sepak berdarah Lubnan-Maghribi dibuat mengikut tradisi Roman Katolik dan Islam.
Carlos memaklumkan upacara perkahwinan mengikut tradisi Katolik dibuat demi menghormati ahli keluarganya yang mengikut fahaman berkenaan. Upacara pernikahan secara Islam pula dibuat atas dasar menghormati rakan-rakan Muslim mereka.
Carlos dianggap antara bek kiri terbaik dalam sejarah bola sepak. Beliau pernah menjulang Piala Dunia 2002 bersama Brazil dan menjulang banyak trofi semasa bersama Real Madrid.