Bekas peledak import Selangor FC, Rufino Segovia dilihat merindui tempohnya bersama pasukan gergasi Lembah Klang itu.
Nama penyerang Sepanyol itu bukan asing dalam kalangan penyokong Merah Kuning kerana amat berbisa di depan gol.
Ini dibuktikan apabila Rufino diangkat sebagai pemenang Kasut Emas Liga Super Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018.
Musim itu menyaksikan beliau meledakkan 31 gol daripada 35 penampilan dalam semua kejohanan bersama Merah Kuning.
Meskipun Rufino meninggalkan Selangor selepas kontraknya tidak diperbaharui pada November 2020, bekas penyerang Kitchee itu tidak pernah melupakan kenangannya selama empat musim bersama pasukan itu.
Malah, beliau turut mengucapkan selamat berjaya kepada Merah Kuning menjelang permulaan musim 2024/25.
“Selangor dalam hidup saya, kenangan yang anda (tinggalkan) untuk saya. Sentiasa segar dalam ingatan, sentiasa tersemat dalam hati saya.
“Saya merindui anda, Selangor. Selamat berjaya untuk musim ini (musim 2024/25), saya harap dapat bertemu dengan anda lagi,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram.
Sejak hantaran itu dimuatnaik pada Sabtu lepas, ramai penyokong Selangor merasa teruja dan gembira melihat sokongan yang diberi Rufino kepada pasukan itu.
Salah seorang daripadanya ialah wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam. Beliau menyifatkan Rufino antara legenda import Selangor yang dikagumi baik di atas padang mahupun di luar padang.
“(Rufino) sentiasa (beri) 100% di atas padang, sentiasa meluangkan masa untuk peminat selepas setiap perlawanan (dan dengan saya setiap kali saya ingin menemubual).
“Setakat yang saya tahu, anda seorang legenda. Semoga kehidupan melayan anda dengan baik sekarang, Rufo,” katanya di ruang komen hantaran tersebut.
Selangor membuka kempen 2024/25 dengan langkah kanan apabila menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 1-0 di Stadium MBPJ pada Sabtu lepas.