Sabah ‘Tanduk’ Bali United
MakanBola
Bali United FC

Sabah FC meneruskan persiapan pramusim dengan menewaskan kelab Indonesia, Bali United 2-1 dalam aksi pertama Dewata Challenge Series 2026.

Kejohanan ini menyaksikan penyertaan tiga pasukan iaitu Sabah, Bali United dan juara liga Indonesia, Persib Bandung. Pemenang akan diketahui menerusi kutipan mata selepas tiga perlawanan.

Tuan rumah menurunkan barisan terkuat untuk menghadapi cabaran anak buah Juan Torres Garrido. Antara pemain yang diturunkan dalam kesebelasan utama ialah Jens Raven, Thomas Lam dan kapten dari Australia, Brandon Wilson.

Cabaran Sabah pula diketuai bek tengah skuad kebangsaan, Dominic Tan, Juan Flere, Fayadh Zulkifli, Miguel Cifuentes dan Kike Cadete.

Meskipun beraksi di gelanggang lawan, itu bukan penghalang buat Sabah merobek gawang Bali United sebanyak dua kali. Park Jung-bin dan Gonzalo Di Renzo masing-masing mencetak nama sebagai penjaring.

Bali United membalas menerusi pemain sayap, Rahmat Arjuna. Pasukan itu cuba bangkit pada separuh masa kedua tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Sabah kini akan berdepan cabaran lebih getir apabila menentang Persib pada 15 Ogos. Bali United pula akan menentang Persib pada 18 Ogos.

Sabah bukan satu-satunya pasukan Liga Super yang membuat persiapan pramusim di Indonesia. Pasukan utara tanah air, Penang FC pula akan turun menentang Persebaya Surabaya pada 15 Ogos ini.