Bintang Liverpool, Sadio Mane sekali lagi mencuri tumpuan ramai apabila beliau dilaporkan telah membantu salah sebuah keluarga Cameroon yang mengalami masalah kewangan.
Ketika Mane dikejarkan ke hospital akibat perlanggaran antara beliau dan penjaga gol Cape Verde, Vozinha tempoh hari, Mane telah berjumpa dengan satu keluarga yang kurang berkemampuan. Beliau bertindak membantu keluarga tersebut dengan membayar bil hospital dan menanggung kos rawatan seorang budak yang baru terlibat dalam kemalangan.
Perkara ini dikongsikan oleh salah seorang tetamu di siaran televisyen Cameroon, Equinoxetv mengenai Sadio Mane. Seperti yang dilaporkan Tribal Football, tetamu tersebut menjelaskan bahawa Mane amat prihatin terhadap situasi tersebut.
“Saya ceritakan kepada anda mengenai perbuatan baik Sadio Mané di Bafoussam terhadap sebuah keluarga. Keluarga mangsa tertekan kerana sebuah motosikal melanggar anak mereka dengan tulangnya patah dan kecederaan di seluruh badan. Budak itu hampir mati dan ibu bapanya tidak mampu membayar untuk rawatan.”
“Sadio, yang berada di hospital (dirawat selepas aksi menentang Cape Verde) menemui keluarga itu dan bertanya apa yang berlaku. Kami menjelaskan situasi itu kepadanya dan dia memberikan mereka 400,000 FCFA (RM 2691) yang amat melegakan keluarga itu.”
“Saya percaya hari ini ia adalah anugerah diberikan Tuhan.”
Mane memang terkenal dengan sifat dermawan dan pemurah dimana sebelum ini pada 2019, Mane pernah membina sekolah yang bertempat di bandar kelahirannya sendiri iaitu Bambali.
Pemain yang berusia 29 tahun itu juga pernah mendermakan sebanyak £41,000 (RM232,561) kepada FCFA, sebuah badan yang membantu melawan COVID-19 di Senegal.