Pemain sayap negara, Safawi Rasid bersedia memberi yang terbaik demi membantu Malaysia dalam Piala Asia 2023 di Qatar.
Musim ini menyaksikan Safawi hanya merekodkan tiga penampilan bersama Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) selepas pulang dari tempoh pinjaman bersama Ratchaburi.
Justeru, beliau berharap dapat menggunakan tahun 2024 sebagai medan kebangkitan untuk menemui sentuhan terbaiknya.
Safawi berharap dapat memanfaatkan peluang beraksi dalam skuad negara sekiranya diberi peluang oleh jurulatih Kim Pan-gon.
“Setiap hari dalam latihan, saya beri yang terbaik dekat kelab atau dekat pasukan kebangsaan. Jadi, saya percaya kepada jurulatih-jurulatih terutama Kim Pan-gon.
“Coach Kim Pan-gon tahu cara menggunakan pemain yang dia ada. Jadi, saya rasa kita kena kerja keras di sini dan bagi segalanya dalam latihan. Jadi, semua pemain kena bersedialah untuk ambil tanggungjawab,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menariknya, Safawi bakal bersemuka dengan penjaga gol Shonan Bellmare, Song Bum-keun. Ini kerana kedua-duanya berada dalam pasukan sama yang bersemuka pada suku akhir Piala Asia B-23 2018.
Perlawanan suku akhir Piala Asia B-23 2018 Malaysia dan Korea Selatan berakhir dengan kemenangan 2-1 buat Pahlawan Taeguk.
Berbeza dengan pemain sayap berusia 26 tahun itu, Bum-keun tidak diturunkan oleh jurulatih skuad B-23 Korea Selatan ketika itu, Kim Bong-gil.
Sekiranya kedua-dua pemain masing-masing diberi peluang beraksi dalam perlawanan ketiga Kumpulan E pada 25 Januari 2024, ini akan menambah rencah perlawanan Malaysia-Korea Selatan nanti.