Kapten pasukan Harimau Malaya, Safawi Rasid memberi amaran keras kepada mana-mana pemain yang cuba berseronok dan ‘menari ‘ di gelanggang keramat Harimau Malaya, Stadium Nasional Bukit Jalil.
Malaysia mencatatkan kemenangan bersejarah dalam aksi semalam apabila berjaya membenam Singapura dengan keputusan 4-1 untuk layak ke peringkat separuh akhir selaku naib juara Kumpulan B saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022.
Mengulas lanjut, pemain sayap Ratchaburi FC itu berbangga dengan persembahan pasukan pada malam semalam sekaligus menyekat hasrat penyerang Singapura, Ikhsan Fandi untuk menari di Bukit Jalil.
Safawi waspada dengan satu hantaran yang dimuat naik oleh penyerang BG Pathum United itu menerusi satu hantaran beliau dan adiknya, Ilhan sedang menari meraikan jaringan ketika menewaskan Malaysia 2-1 pada aksi antarabangsa di Stadium Nasional Singapura, Mac lepas.
“Saya sangat bangga dengan pemain dan terutama jurulatih yang selalu bagi motivasi kepada pasukan.”
“Bagi saya kemenangan ini bagus sebab ada pemain Singapura nak menari malam ini (semalam), tapi tak jadi. Ini Bukit Jalil, anda tidak boleh melakukannya,” katanya selepas perlawanan.
Safawi berasa amat gembira setelah mencatat kemenangan Causeway Derby pertamanya sebagai pemain negara dengan membantu Malaysia melayakkan diri ke separuh akhir berdepan Thailand Sabtu ini.