Pemain sayap sensasi Malaysia, Safawi Rasid kembali ke pangkuan kelabnya, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Menerusi beberapa keping foto yang dikongsikan oleh Johor Southern Tigers, kelibat pemain berusia 26 tahun itu kembali mewarnai sesi latihan skuad Harimau Selatan.
Umum mengetahui bahawa anak jati kelahiran Terengganu itu menghabiskan tempoh pinjamannya bersama kelab Liga 1 Thailand, Ratchaburi FC.
Beliau menjadi watak penting di sana apabila beraksi secara konsisten dalam setiap perlawanan sungguhpun dilanda kecederaan di pertengahan jalan.
Setelah membantu The Dragons untuk menghabiskan saingan di tangga ke-8, beliau akhirnya pulang semula ke pangkuan JDTz
Nama beliau ketika ini masih hangat diperkatakan selepas pernah menyatakan hasrat untuk beraksi dengan lebih kerap.
Beberapa khabar angin juga menyatakan bahawa Safawi berjaya menarik minat beberapa buah kelab yang berpangkalan di Liga 1 Indonesia.
Bukan itu sahaja, terdapat dua buah kelab di Pantai Timur yang sedang memerhatikan beliau tatkala jendela perpindahan kedua dibuka pada Julai nanti.
Pengendali Terengganu, Tomislav Steinbrückner pernah mengakui bahawa beliau tertarik untuk bergabung semula dengan bekas anak buahnya yang beraksi di T-team suatu ketika dahulu.
Beliau bagaimanapun masih belum menoktahkan destinasi berikutnya dengan suda pasti mahu merebut tempat dalam skuad sedia ada JDT yang dibarisi pemain berkualiti tinggi.