Pemain sayap pasukan kebangsaan, Safawi Rasid menjelaskan dua sebab penghijrahannya ke Thailand antaranya adalah corak permainan yang dipamerkan di dalam liga bola sepak Thailand banyak bermain ball possession dan permainannya yang laju.
Jadi, bagi beliau kedua-dua sebab itu mungkin antara faktor yang terbaik untuk dapatkan kembali prestasinya yang dilihat agak merudum ketika mana beliau tidak lagi mendapat tempat kesebelasan utama Johor Darul Ta’zim.
Pemain berasal dari Dungun itu turut tekad untuk beraksi dengan lebih kerap bagi mendapatkan minit permainan yang secukupnya dan akan lebih komited untuk merebut tempat dalam skuad Harimau Malaya.
“Saya rasa corak permainan dalam liga bola sepak Thailand banyak bermain ball possession dan permainan yang laju. Jadi ini mungkin tempat terbaik untuk saya dapatkan kembali momentum, umur saya dah 25 tahun saya perlukan minit permainan, saya tak nak duduk di bangku simpanan lagi,” katanya kepada Makanbola.
Sebelum ini, ada desas desus yang menyatakan destinasi seterusnya pemain berusia 25 tahun itu sudahpun terjawab apabila JDT mengumumkan secara rasmi perpindahan Safawi ke Liga Thailand secara pinjaman kelmarin.
Safawi yang baru sahaja mendirikan rumah tangga merupakan antara salah seorang ketua pasukan negara ketika ini sudah pasti akan mengharungi dengan positif setiap cabaran yang baru buatnya.