Harga pasaran bagi ‘Wonderkid’ dari Indonesia, Egy Maulana Vikri terus meningkat hampir mencecah RM1 Juta.
Pemain muda ini nilainya mula meningkat ekoran prestasi cemerlangnya semasa beraksi di Liga Slovakia bersama pasukan FK Senica dan juga bersama skuad kebangsaan Indonesia sepanjang 2021/22.
Menurut laman rasmi Transfermarkt.com, jumlah sebenar Egy Maulana adalah sebanyak 175,000 euro iaitu bersamaan dengan RM 831,217.89.
Musim 2021/22 adalah musim cemerlang bagi pemain berusia 21 tahun ini selepas berjaya menjaringkan dua gol serta dua bantuan gol dalam 16 perlawanan bersama FK Senica.
Menurut Indosport, sebelum ini jumlah nilai pasaran Egy adalah sebanyak 100,000 euro bersamaan dengan RM 474,981.65. Ia adalah satu peningkatan yang ketara berbanding nilai ketika ini.
Yang menariknya adalah nilai pasaran Egy telah melebihi pemain senior pasukan FK Senica, Dominik Duda yang nilainya adalah 125,000 euro iaitu kurang 50,000 euro berbanding Egy Maulana.
Aksi cemerlang bersama skuad Garuda dalam kempen Piala AFF baru-baru ini juga menjadi asbab nilai pasarannya semakin meningkat.
Walaupun hanya bermain dalam 3 perlawanan, beliau berjaya menjaringkan dua gol dan membantu pasukan Indonesia layak ke peringkat akhir buat kali keenam dalam sejarah.