Ramai penyokong Arsenal terkejut apabila nama seorang pemain bernama Salah tersenarai dalam senarai pemain untuk aksi Liga Juara-Juara UEFA (UCL) menentang Atalanta.
Walau bagaimanapun, Salah yang dimaksudkan bukanlah penyerang berbisa Liverpool dan Mesir, Mohamed Salah.
Sebaliknya, Salah yang berada di bangku simpanan The Gunners itu ialah pemain muda Belanda, Salah-Eddine Oulad M’Hand.
Dia menyertai pasukan itu dari akademi kelab gergasi Belanda, Feyenoord pada 2020. Beraksi di posisi bahagian tengah, Salah pernah beraksi untuk kelab Den Bosch secara pinjaman pada musim 2023/24.
Dia merekodkan 20 penampilan, tiga gol dan satu bantuan gol untuk pasukan itu pada musim lepas. Selain Den Bosch, Salah juga pernah beraksi untuk Hull City.
Kehadiran Salah di bangku simpanan dibuat Arteta selepas beberapa tonggak tengah pasukan itu terpaksa disisihkan akibat kecederaan. Antara pemain yang terpaksa disisihkan ialah Mikel Merino dan kapten, Martin Odegaard.
Salah bukan satu-satunya pemain muda Arsenal yang tersenarai di bangku simpanan. Arteta turut menyenaraikan Ethan Nwaneri, Jimi Gower, Jack Porter, Myles Lewis-Skelly dan Nathan Butler-Oyedeji.
Perlawanan dengan Atalanta berakhir dengan keputusan 0-0. Penjaga gol The Gunners, David Raya muncul wira dengan menafikan penalti Matias Retegui pada minit ke-51.
Keputusan ini menyaksikan Arsenal dan Atalanta masing-masing menduduki tangga ke-16 dan ke-20 liga UCL selepas satu perlawanan.