Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio miliki jawapan sama ada pemain baharu, Samu Castillejo akan diturunkan atau tidak pada aksi pertama pusingan 16 terbaik AFC Champions League Elite (ACLE) menentang Buriram United.
Kedua-dua jaguh Asia Tenggara ini akan bertemu dalam aksi pusingan 16 terakhir ACLE selepas Buriram dan JDT masing-masing menamatkan saingan liga dalam kelompok 8 pasukan teratas.
Walau bagaimanapun, Buriram yang kini menerajui carta Thai League 1 dikejutkan dengan keputusan tidak dijangka apabila terikat seri tanpa jaringan berdepan pasukan ke-9 liga, Uthai Thani.
Manakala JDT pula masih segar dengan kejayaan ditabalkan selaku juara Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut minggu lalu selain kehadiran bintang import baharu, Samu Castillejo.
Menurut Bidoglio, pertemuan dua jaguh Asia Tenggara ini sudah tentu penting buat pasukan Harimau Selatan selain hanya mahu para pemain fokus memberikan aksi terbaik di atas padang.
”Aksi (menentang Buriram) ini amat penting bagi JDT, kami hanya memberi tumpuan kepada diri sendiri dan akan terus memberikan persembahan terbaik,” kata Hector Bidoglio.
Ketika ditanya mengenai peluang Samu Castillejo diturunkan berdepan Buriram, beliau menjelaskan bahawa terdapat satu lagi sesi latihan pasukan pada Isnin sebelum keputusan akan dibuat.
”Beliau (Samu Castillejo) mempunyai peluang yang cerah untuk bermain pada hari esok (Selasa) tetapi kami masih memiliki satu lagi sesi latihan sebelum menentukannya,” kata Bidoglio lagi.
Aksi Buriram United vs JDT akan berlangsung pada Selasa, 4 Mac di Buriram Stadium dengan sepak mula akan bermula tepat jam 10 malam waktu Malaysia.