Sathianathan Kaji Bolasepak Eropah Untuk Tambah Ilmu
MakanBola
Officialsarawakutdfc
Sponsors

Kerinduan penyokong bolasepak tanah air kepada kelibat B.Sathianathan di tepi padang, bakal terubat apabila beliau dijangka membuat comeback dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Jurulatih berpengalaman luas itu telah mengambil cuti panjang sejak bulan Jun lalu, untuk menjalani rawatan berikutan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Ad

Namun beliau mengesahkan sudah pulih dan mengakui begitu merindui bolasepak justeru tidak sabar untuk kembali membimbing pasukan jika khidmatnya diperlukan.

Ad

“Saya dengan bola sepak dah macam sebati. Saya dah sihat dan menjalani rawatan terakhir, doktor juga membenarkan untuk saya kembali bekerja.

“Selepas ini hanya perlu lakukan pemeriksaan susulan setiap tiga bulan,” kata Sathianathan sambil berterima kasih kepada semua yang sentiasa ada bersamanya bagi memberikan sokongan.

Ad

Sathianathan yang pernah dinobatkan sebagai jurulatih terbaik kebangsaan sebanyak tiga kali juga memberitahu bahawa sepanjang tempoh berehat, beliau menggunakan peluang untuk menganalisis bolasepak Eropah dan mendalami perkara-perkara baru berkaitan bolasepak moden.

Ad

“Saya tak duduk diam. Selepas berehat pada Jun lalu, saya sentiasa melihat dan mengkaji perlawanan luar negara khususnya Eropah untuk tambah ilmu dalam bola sepak,

Ad

“Saya telah melihat perkara dan pendekatan baharu, seperti apa yang Napoli (kelab Itali) bermain sekarang dan telah menganalisisnya. Saya juga mendapati standard kelab-kelab kita semakin baik dan antara yang terbaik di Asia,” katanya.

Bekas jurulatih kebangsaan yang turut pernah membimbing pasukan seperti Kelantan, ATM, Felda United, Selangor dan Sarawak United itu menambah, beliau bersedia mempertimbangkan tawaran mana-mana pasukan dan ketika ini sedang dalam perbincangan bersama beberapa kelab berpotensi.

“Memang ada perbincangan dengan dua ke tiga pasukan, satu pasukan di kawasan Lembah Klang, satu lagi di luar tetapi tiada kata putus, tak ada yang muktamad lagi. Ada juga tawaran pasukan luar negara, sebab sebelum ini pun saya ada kelab dari Indonesia yang tawarkan.

“Apapun pasukan dalam negara masih jadi keutamaan dan saya masih mampu dan sedia untuk mencurahkan ilmu bersama pasukan, saya sudah bersedia,” tambahnya.

Dalam kancah domestik, Sathianathan paling diingati ketika membawa Kelantan menjulang Piala Malaysia buat pertama kali dalam sejarah pasukan itu pada tahun 2010.