Selepas menerima panggilan menyertai skuad senior Harimau Malaya, Nooa Laine menganggap ia sebagai satu penghormatan. Justeru, sekiranya terpilih dalam kesebelasan utama, pemain berusia 20 tahun itu berharap tidak menghampakan kepercayaan Kim Pan-gon kepadanya.
Laine merupakan sebahagian daripada lapan pemain baru yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan. Selain dia, duo naturalisasi Endrick dos Santos dan Paulo Josue, Feroz Baharudin, Fayadh Zulkifli, Damian Lim dan Sikh Izhan Nazrel turut dipanggil.
Sedar berdepan cabaran sukar mengisi slot bahagian tengah, Laine berharap dengan menampilkan aksi konsisten semasa latihan, itu sudah cukup menyakinkan Pan-gon untuk menyenaraikannya dalam kesebelasan utama.
“Sudah tentu saya bangga untuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan buat pertama kali dan cuba beri yang terbaik sepanjang latihan malah pemain lain yang saya anggap seperti `abang’ banyak membantu dan mereka kerap berkomunikasi dengan saya.
“Jika ada rezeki saya akan berada dalam skuad tapi saya mahu menjadi pemain yang penting untuk Harimau Malaya pada masa hadapan, lagipun saya baru berusia 20 tahun dan perlu timba pengalaman di samping mahu sentiasa konsisten pada sesi latihan.
“Saya juga mahu menunjukkan nilai yang ada pada diri saya dan dari situ akan membantu pasukan kebangsaan dan ketika ini saya masih mengadaptasi corak permainan Harimau Malaya,” katanya.
Pemain tengah muda SJK Seinajoki itu mengakui tidak mengenali corak permainan yang diterapkan. Ini disebabkan Laine tidak pernah beraksi dalam mana-mana pasukan Liga Malaysia (Liga M).
“Tidak dinafikan ketika menjalani latihan, saya perhatikan pemain yang turut bersama pada sesi latihan tampak berkualiti dan hebat tapi gaya permainan agak berbeza dengan di Finland yang lebih teknikal berbanding di sini gaya permainan lebih `straight forward’
“Apapun, saya harus menyesuaikan diri dengan corak taktikal dan teknikal yang akan diterapkan oleh jurulatih dan kena pantas juga mengenali corak permainan rakan lain,” tambahnya.
Dengan dua perlawanan persahabatan menentang Turkmenistan dan Hong Kong pada 23 dan 28 Mac ini, ramai mengharapkan pemain-pemain yang dipanggil termasuk Laine mempamerkan aksi memukau bersama Harimau Malaya.