Saudara Ronaldo Masuk Islam
MakanBola
Al-Nassr FC

Seorang saudara wanita legenda Portugal, Cristiano Ronaldo dilaporkan telah memeluk Islam.

Hal ini berdasarkan perkongsian seorang pakar perubatan Islam terkenal, Dr. Ali Mahmoud Hassan atau Dr Mala Ali Kurdistani di Facebook.

Ali Mahmoud cukup dikenali sebagai pakar perubatan herba dan Islam dengan pengalaman selama 31 tahun. Selain itu, beliau juga aktif melibatkan diri dalam kerja-kerja kemanusiaan dan dakwah.

Menerusi satu video, wanita Portugal itu ialah saudara kepada Ronaldo. Ali Mahmoud kemudiannya mengajarkan wanita itu mengucap dua kalimah syahadah.

Selepas itu, ramai orang mengucapkan tahniah kepada wanita berkenaan kerana memeluk agama Islam. Kisah Ronaldo dengan Islam bukan perkara baru.

Sebelum ini, Ronaldo dilaporkan berminat mempelajari Islam dan budaya masyarakat Arab. Perkara ini didedahkan bekas penjaga gol Al-Nassr, Waleed Abdullah pada 2024.

Ini bertujuan membantu Ronaldo menyesuaikan diri dengan kelab dan rakan-rakan sepasukan. Malah, legenda Manchester United itu berusaha memastikan rakan-rakan sepasukannya bersolat antara setiap sesi latihan.

Selain kagum dengan disiplin dan komitmen yang dipamerkan Ronaldo sebagai pemain, Waleed juga tersentuh dengan kelunakan budi yang dipamerkan beliau dan puteranya, Cristiano Jr.