Jaguh Muay Thai Malaysia, Johan Ghazali memaklumkan beliau akan bangkit semula daripada kekalahan di tangan jaguh Colombia, Johan Estupinan.
Hasrat jaguh berusia 18 tahun itu untuk menambah kemenangan ketujuh daripada lapan aksi ONE Championship terbantut.
Ini selepas Estupinan berjaya meraih kemenangan dalam aksi ONE 170 kategori flyweight. Kejayaan ini memastikan jaguh Colombia itu kekal tanpa kalah dalam lima perlawanan.
Meskipun tewas, ramai peminat Muay Thai terutama dari Malaysia memuji persembahan Johan. Ini kerana jaguh muda Malaysia itu memberi tentangan sengit kepada jaguh yang dikenali dengan gelaran The Panda Kick itu.
Ini termasuk keupayaan Johan menjatuhkan Estupinan sebanyak tiga kali dalam aksi yang berlangsung selama tiga pusingan itu.
Atas sebab itu, jaguh muda Muay Thai itu menyifatkan kekalahan ini sebagai halangan kecil untuk mencapai cita-citanya bergelar antara jaguh hebat sukan berkenaan.
“Alhamdullilah, hanya satu halangan kecil dalam perjalanan saya. Saya akan kembali. Terima kasih semua atas sokongan,” katanya di Instagram.
Johan kini memiliki enam kemenangan dalam lapan aksi ONE. Ini termasuk lima kemenangan yang diraih secara knock-out.