Advertisement
“Saya Dah Nampak Mereka Boleh Bermain” – Dollah Salleh
Dunia
MakanBola
Sri Pahang FC

Kesebelasan utama Sri Pahang dalam aksi timbal balik pusingan kedua Piala Malaysia, hampir pasti akan menyaksikan tersenarainya nama Lee Tuck dan Sergio Aguero.

Ini berikutan Dollah Salleh cukup berpuas hati dengan apa yang ditunjukkan dua pemain itu ketika masuk sebagai pemain gantian ketika dibelasah Terengganu dengan jaringan 1-5 pada Khamis lalu.

“Ada sebab kenapa saya tak masukkan mereka terus di dalam kesebelasan utama, kalau tengok kita punya game sejak beberapa perlawanan terakhir menentang Sabah dan Negeri Sembilan, pemain yang diturunkan telah bermain sangat baik, menguasai perlawanan dan berada di tahap terbaik.

“Manakala kita tahu Lee Tuck dan Aguero sudah begitu lama tidak bermain, jadi kita tak boleh nak menilai keupayaan mereka dalam masa sama tak nak kacau momentum dari perlawanan terakhir sebelum ini.

“Apabila kita masukkan mereka di separuh masa kedua, saya nampak apa yang boleh mereka berikan, mereka boleh bermain dan akan diserapkan ke dalam kesebelasan utama untuk perlawanan kedua nanti,” ujar Dollah kepada MakanBola.

Lee Tuck dan Aguero, dua pemain yang telah bersama dengan Sri Pahang sejak musim 2021, tidak membuat sebarang penampilan dalam saingan Liga Super musim ini, berikutan menunggu perubahan status mereka daripada pemain import kepada pemain tempatan yang memakan masa.

Sebagai rekod, Malaysian Football League (MFL) memberi kelulusan untuk dua pemain itu didaftarkan sebagai pemain tempatan pada bulan September lalu.

Tatkala kekalahan kepada Terengganu adalah penampilan sulung Lee Tuck dan Aguero, aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Selasa nanti, berkemungkinan besar akan menjadi penampilan terakhir mereka bagi saingan musim ini.

Sri Pahang membawa misi yang boleh dikatakan mustahil apabila perlu mengejar empat gol untuk seri, dan lima gol untuk menang.