Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam teruja sekiranya dapat melihat kelibat pemain sayap sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid kembali ke Malaysia.
Menerusi satu kenyataan hari ini, beliau menjelaskan bahawa jendela perpindahan pertengahan musim sudah semakin hampir.
Kebanyakan pasukan juga sedang mempersiapkan pasukan untuk membawa masuk muka-muka baharu bagi memantapkan pasukan.
Jelasnya, sudah tentu khabar angin berlegar dalam kalangan penyokong tentang kepulangan pemain berusia 26 tahun itu ke selatan tanah air.
“Jendela perpindahan akan dibuka tidak lama lagi dan sudah tentu ada khabar angin tentang kepulangan Safawi dan sebagainya.”
“Saya tidak menghubungi beliau untuk bertanyakan tentang kepulangan beliau namun saya sudah tentu gembira jika beliau dapat kembali ke Liga Malaysia,” jelasnya kepada Astro Arena.
Safawi kini beraksi bersama kelab Liga 1 Thailand, Ratchaburi FC namun menurut penjelasan Duli Yang Amat Mulia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ), Safawi menyatakan rasa kurang selesa beraksi di sana oleh kerana beberapa faktor.
Kepulangan beliau bagaimanapun masih belum mencapai kata putus oleh TMJ yang mahu menilai dengan teliti terlebih dahulu.
Anak jati Terengganu itu sudah pun meledak satu gol dan satu bantuan gol sepanjang penampilannya di Thailand.