Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain belum memutuskan mengenai masa depannya sama ada akan kekal membimbing kelab gergasi pantai timur itu pada musim depan atau tidak.
Malah, menurut Nafuzi, dia cuma tahu secara lisan kontraknya akan disambung namun belum ada sebarang tawaran rasmi dikemukakan kepadanya.
“Buat masa ini saya cuma nak habiskan musim ini dahulu, saya tak nak fikir dulu. Saya tak boleh nak ramal tentang masa depan, lagipun kontrak belum sampai depan mata, tak dapat tawaran apa-apa lagi dari pihak pengurusan. Belum dapat butiran apa-apa lagi tentang kontrak baru.
“Sekarang ini saya diberitahu pengurusan tertinggi buat keputusan nak mengekalkan saya, saya tahu nanti mereka akan tawar kontrak tersebut, cuma mungkin sebab kesuntukan masa, mereka belum dapat berbuat demikian. Bila kontrak dah ada depan mata, tengoklah macam mana tawarannya.
“Buat masa ini, saya tak fikirkan diri saya. Yang penting adalah pasukan, pemain dan penyokong. Sokongan penyokong adalah cukup luar biasa kepada saya, saya menghargainya.
“Saya tahu harapan penyokong adalah supaya saya kekal, saya tidak mahu mengecewakan mereka. Saya mahu hadiahkan mereka final Piala Malaysia jika ada rezeki. Apapun, saya kekal ataupun tidak, ia adalah keputusan untuk kebaikan semua pihak, bukan diri saya seorang sahaja,” kata Nafuzi selepas memacu pasukannya berpesta gol ke atas Pahang dalam aksi pusingan kedua Piala Malaysia.
Sebelum ini, dilaporkan pengurusan tertinggi Terengganu FC bersetuju untuk mengekalkan Nafuzi untuk setahun lagi.
Walaupun ia hadir sebagai perkhabaran gembira apatah lagi pengendali dari Kelantan itu cukup disenangi penyokong dan pemain, tempoh lanjutan kontrak itu dilihat sebagai faktor yang mungkin membuatkan Nafuzi berfikir dua kali, untuk menerima atau tidak tawaran tersebut.
Sejak membimbing Terengganu bermula pertengahan 2019, Nafuzi dua kali membawa Terengganu muncul naib juara Liga Super pada 2020 dan 2022 seterusnya layak beraksi di Piala AFC, manakala tahun ini dia turut membawa pasukan itu layak ke final Piala FA.