“Saya Kekal Di JDT” – Safawi Rasid

Safawi Akhyar "Saya Kekal Di JDT" - Safawi Rasid
Azri Haziq / MakanBola
Azri Haziq @azrihazq
2:17am 15/06/2023

Pemain sayap kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid tampil menafikan khabar angin yang sedang berlegar ketika ini.

Beliau menyangkal dakwaan yang mengaitkan dirinya bakal berpindah ke salah sebuah kelab Liga Super yang berpangkalan di Pantai Timur. Kata Safawi, beliau akan terus kekal bersama kem Harimau Selatan.

“Ya sebenarnya selepas ini saya akan terus kekal di JDT. Saya stay di JDT dan ia muktamad,” ujar Safawi selepas tamat aksi antara Malaysia dan Kepulauan Solomon malam semalam.

Selepas tamat tempoh peminjaman di kelab Liga 1 Thailand, Ratchaburi FC, nama pemain berusia 26 tahun ini kembali disebut-sebut peminat bola sepak tempatan.

Ramai yang mengharapkan Safawi akan kembali beraksi secara regular dan mendapat minit permainan di kancah Liga Super.

Safawi dalam pada itu memaklumkan bahawa beliau sudah kembali menjalani latihan bersama JDT selama sebulan. Anak jati kelahiran Terengganu ini menjelaskan latihan tambahan bersama rakan sepasukan di JDT menjadi kunci untuk memastikan mereka berada pada tahap prestasi terbaik.