Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengimbau kembali kenangan baju rasmi kejohanan yang diluluskan olehnya ketika temasya Sukan Sea di Malaysia 2017.
Khairy Jamaluddin atau lebih mesra disapa sebagai KJ kini bergelar penyampai radio dan hos bagi sebuah audio siar yang dikenali sebagai Keluar Sekejap bersama rakan hosnya, Shahril Hamdan.
Dalam satu klip sesi audio siar Keluar Sekejap yang telah dimuatnaik pada Rabu, Khairy seakan mengimbau kembali ketika melihat jersi yang digunakan oleh atlet-atlet negara ketika berjuang dalam temasya Sukan Sea tujuh tahun yang lalu.
”Saya cukup nostalgik hari ini sebab saya pakai baju ini (baju T rasmi kontinjen Malaysia ketika Sukan Sea Kuala Lumpur 2017),” katanya sambil membelek jersi yang digunakannya itu.
Tambahnya lagi, baju yang direka dan dikeluarkan oleh syarikat tempatan, Abstrax ini sangat disukainya serta beliau merasa berbangga menjadi orang yang meluluskan jersi yang penuh nostalgia buat para peminat sukan negara.
”Saya bernostalgia sebab saya teringat baju ini daripada Sukan Sea tahun 2017 dan baju ini direka oleh pereka tempatan, Abstrax Max yang merupakan syarikat pereka tempatan serta saya sukakan baju ini.”
“Saya yang luluskan reka bentuk baju ini,” tambah Khairy yang menjawat jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan dari Mei 2013 hingga Mei 2018.
Baju yang sungguh ikonik mengingatkan kembali kejayaan Malaysia muncul juara keseluruhan temasya Sukan SEA ketika itu apabila meraih 145 emas, 92 perak dan 86 gangsa untuk jumlah keseluruhan 323 pingat.
Baru-baru, pihak Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah memperkenalkan pakaian kontinjen Olimpik negara di Paris berupa baju berkolar, baju T dan jaket dalam satu majlis sempena Hari Olimpik Malaysia di The Exchange TRX.
Walau bagaimanapun, sejak diperkenalkan kepada orang ramai, imej pakaian berkenaan mendapat maklum balas negatif daripada peminat sukan tanah air di media sosial terutamanya dari segi pemilihan warna dan corak pakaian berkenaan.