Advertisement
“Saya Tak Akan Sia-Siakan Kepercayaan TMJ” – Hafizh Syahrin
UltraSukan
UltraSukan
HRH Crown Prince of Johor

Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui sokongan yang diberi Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim amat bermakna buat dirinya.

Sebagai pelumba, Hafizh melihat sokongan yang diberi baginda mendorongnya mempamerkan prestasi positif setiap kali berlumba di atas litar.

Atas sebab inilah, beliau mahu membalas kepercayaan yang diberi TMJ kepadanya untuk membawa nama JDT Racing Team lebih dikenali di pentas dunia.

“Benda ini paling penting (dan) jadi sebahagian daripada perlumbaan. Kita perlu ada orang yang boleh faham kita.

“Itu sebab yang saya cakap sebelum ini, saya sangat gembira orang sekeliling saya amat positif dan ada orang sokong saya.

“Dan sekarang saya ada TMJ yang sentiasa menyokong (dan) berada di belakang saya. Dan saya takkan sia-siakan peluang yang saya ada ini walaupun umur itu orang kata sekadar nombor,” katanya kepada pembaca berita Nadi Arena, Suzana Basir dan Dayang Zainatull Aqma baru-baru ini.

Hafizh seterusnya membawa cabaran JDT Racing Team untuk pusingan kedua Asia Road Racing Championship (ARRC) 2024 di Zhuhai, China pada bulan hadapan.