Advertisement
“Saya Tak Pernah Nak Jatuhkan Mana-Mana Sukan” – Johan Ghazali
UltraSukan
UltraSukan
Johan Ghazali

Nama atlet Muay Thai, Johan Ghazali panas sejak beberapa hari lepas susulan kenyataannya yang menganggap Muay Thai lebih benar daripada silat olahraga.

Jawapan tersebut membuatkan ramai peminat sukan tanah air merasakan Johan yang mesra dipanggil Jojo cuba merendah-rendahkan martabat sukan warisan itu.

Ini mendorong peminat silat Malaysia, Azrul Affandy Sobri tampil mempertahankan Jojo menerusi satu hantaran di Facebook beliau baru-baru ini.

Selepas berinteraksi dengan jaguh Muay Thai berusia 17 tahun itu, dia percaya Jojo tiada niat untuk melukakan hati penggiat dan peminat sukan silat. Ini kerana beliau hanya menyentuh silat dan Muay Thai dari segi aspek sukan.

Meskipun begitu, jaguh muda Muay Thai itu mengakui dirinya terkhilaf bila bergurau tentang penggiat silat cuba mencabarnya. Azrul diberitahu hal itu berlaku disebabkan soalan perangkap yang diajukan seorang pengacara program kepada Jojo.

“Dia akui tak ada niat pun retakkan hati atau merendahkan orang silat. Dia hanya ulas pasal sukan. Tapi dia akui khilaf dia bergurau ajak orang silat cuba (mencabarnya).

“Tapi katanya itu semua sebab pengacara yang provokasi atau bagi soalan perangkap. Antara ayat dia tadi, ‘Saya hormat silat. Soalan itu perangkap. Dia potong bahagian itu saja sedangkan bahagian penuh saya bergurau sepatutnya masuk sekali.'” katanya.

Di ruang komen Azrul, Jojo turut memberi penjelasan tambahan tentang apa yang berlaku. Beliau juga sekali lagi memaklumkan tiada niat untuk menyinggung penggiat sukan lain terutama sukan silat.

“Saya tak pernah nak jatuhkan mana mana sukan yang lain macam saya ada sebut dalam video itu, saya cuma menjawab berdasarkan pengalaman dan pengetahuan saya.

“Saya berharap orang orang yang terasa untuk lebih memahami konteks di belakang video ini dan perkara yang saya mahu menyampaikan. Soalan itu memang soalan yang sangat rumit dan tidak mempunyai jawapan yang betul atau salah tetapi saya menjawab berdasarkan pendapat saya.

“Dia lebih kurang nak tanya (macam) badminton atau tenis (mana) lagi bagus. Apa-apa pun saya hormat sukan orang lain dan Insya Allah, satu hari saya akan menceburi sukan silat untuk mendapatkan pengetahuan yang lebih,” ujarnya.

Komen beliau mendapat lebih 2,000 like oleh pengguna Facebook. Malah, ada juga yang memberi kata-kata semangat kepada Jojo agar terus bersemangat membawa nama negara dalam sukan Muay Thai.