Ini kisah mengenai Faisal Halim yang pernah menjaringkan 4 gol ketika menentang skuad muda Jepun selepas menyahut cabaran yang diberikan kepada beliau.
Kisah ini diceritakan oleh bekas pengacara program Soccer Kids, Aidid Marcello ketika diundang menjadi tetamu audio siar Yousaf baru-baru ini untuk menceritakan pengalaman peribadi beliau.
Ketika ditanya mengenai kisah Faisal Halim, Aidid membuka cerita bagaimana beliau mengenali pemain sayap Selangor ini di program realiti tv, Soccer Kids ketika masih di bangku sekolah beberapa tahun lalu.
”Sebenarnya saya kenal Faisal Halim ini masa dia darjah 5 (11 tahun) lagi sebab ketika itu (ada) Soccer Kids,” cerita Aidid Marcello kepada Yousaf.
”Dia (Faisal Halim) ini dari Soccer Kids edisi pertama selepas itu kita buat Soccer Kids All-Stars dan ketika itu kami jumpa balik dah besar. Geng Penang (ada Faisal Halim) semua dah hebat.”
Ujar beliau, Soccer Kids ketika itu dibarisi pemain-pemain muda hebat termasuklah Faisal Halim dan pernah beraksi di Akademi Tottenham selain menyertai kejohanan serantau di Thailand dan Singapura.
”Kita ada pasukan terbaik untuk main di Thailand, bergaduh pun menang. Di Singapura pun menang.”
Lebih menarik, Aidid sempat membuka kisah dalam suatu perlawanan antara Soccer Kids menentang pasukan muda Jepun di Petaling Jaya yang mengingatkan beliau kepada Faisal Halim.
Sebelum perlawanan bermula, Aidid mahu memberikan semangat untuk Faisal Halim dengan menjanjikan wang bernilai RM50 bagi setiap satu gol yang berjaya dijaringkan olehnya.
Faisal Halim menyahut cabaran itu dan berjaya menjaringkan 4 gol untuk mengalahkan Jepun dengan setiap kali meledak jaringan, beliau mengirimkan isyarat ke arah Aidid Marcello di tempat duduk penonton.
“Akhir sekali, kita buat siaran langsung di stadium di Petaling Jaya, berdekatan PKNS berlawan dengan Jepun dan (Soccer Kids) menang.”
”Ketika itu saya ingat lagi saya duduk di atas jerit kepada Faisal Halim ’weh hari ini hang nak skor berapa? sebiji gol RM50’ saja nak bagi semangat,” cerita Aidid Marcello.
”Dia gol sahaja, daripada jauh (dia tunjuk isyarat) akhir sekali 4 biji dia (Faisal Halim) skor malam tersebut, menang 8 (gol) lebih juga dengan Jepun.”
Kini, selepas beberapa tahun berlalu, Faisal Halim diangkat sebagai antara bakat tempatan terbaik yang dimiliki negara dengan 55 jaringan bersama kelab-kelab disertai dan 18 gol untuk Harimau Malaya.